Thursday, 29 November 2012

Kad kredit oh kad kredit!

Baru-baru saya di-offer oleh bank  berkenaan dengan kad kredit, saya masih berfikir adakah patut saya menerimanya, kerana banyak kes orang telah bankrupt akibat daripada penggunaan kad ini, saya telah google tentang keburukan kad kredit ini, & artikal yang saya jumpa ini membuatkan saya berfikir 25 kali... hehe...
 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi4CCTtwnqVQsQqYaUB7mJiw8s7iPl6fl8FVmmV7Zr_dn-zKxklBg9SBBqfgUdH0hrWrYxC3vwPLFJhe_vg-v0jrGORVsML97HtKblXRrEzgotaviM7-YyYFj8BZH_LdZlRo46qV0m-oNU/s1600/ne_10.1.jpg

Bujang, dengan gaji bulanan RM1,500.
Masih tinggal bersama ibu bapa.
Tiada wang simpanan.
Baki hutang kad kredit RM15,000.



Profil di atas tiba-tiba membuatkan mata saya terbeliak. Kita namakan saja dia, Nina. Bagaimana mungkin seseorang yang belum ada tanggungan, mempunyai tanggungjawab sebesar itu?

Petang itu, Nina datang dengan solekan dan dandanan yang cukup bergaya. Melihat pada semua yang dikenakan pada tubuhnya, saya tahu Nina mempunyai selera besar dalam berfesyen.  Di sebalik penampilannya itu, dia sebenarnya mengalami masalah kewangan.  Dia terjebak dalam hutang kad kredit.

Setelah diteliti, ternyata bil kad kreditnya penuh dengan perbelanjaan untuk gaya hidup -- daripada pakaian, kasut, beg, aksesori, alat komunikasi, makan minum di kafe, minyak wangi, sehinggalah kepada barangan kosmetik.  Katanya, usah ditanya dari mana dia dapat memperoleh tiga kad kredit platinum dengan gaji bulanan hanya RM1,500.  Setelah mengenal pasti punca hutang kad kreditnya yang membengkak, tindakan seterusnya ialah memulihkan keadaan.

1) Wujudkan akaun membeli-belah.
Ini adalah akaun khusus untuk berbelanja. Jika Nina dilarang sama sekali untuk berbelanja, adalah dikhuatiri dia akan terus hilang kawalan terhadap wangnya.  Pada suatu ketika ‘bom masa’ itu akan meletup dan membabitkan jumlah wang yang lebih besar.  Nina masih boleh meneruskan hobinya untuk berbelanja, namun jumlah wang yang dapat dibelanjakan kini terhad dan disesuaikan dengan kemampuannya.

Contohnya, setiap bulan Nina perlu mengasingkan RM300 daripada gajinya untuk dimasukkan ke dalam akaun khusus itu. Wang di dalam akaun itu boleh digunakan setiap kali dia berbelanja untuk gaya hidup. Jika wang dalam akaun itu habis, Nina harus menunggu sehingga mendapat gaji pada bulan berikutnya untuk memasukkan wang ke dalam akaun itu . Terapi sebegini juga dapat melatih Nina untuk belajar membezakan yang mana keperluan dan yang mana keinginan. Mahu tidak mahu, Nina terpaksa bercermat kerana jumlah wang yang dapat dibelanjakannya, adalah terhad.

Berpijaklah di bumi nyata, Nina! Jika kita hanya mampu menampung kehidupan dengan pendapatan RM1,000 sebulan, janganlah memaksa diri untuk meniru gaya hidup mereka yang berpendapatan RM3,000 sebulan. Kita tidak mampu.

2) Langsaikan hutang tertunggak.
Adakah Nina mempunyai sumber kewangan lain yang dapat digunakan untuk melunaskan sekurang-kurangnya sebahagian hutangnya? Nina tiada wang simpanan tetapi dia memperoleh bonus tahunan yang cukup besar, kira-kira RM6,000.  Nina disarankan menggunakan bonus tahunan itu untuk membayar hutang kad kreditnya.  Nina juga dinasihatkan menyenaraikan apa saja barangan miliknya yang boleh dijual bagi melangsaikan baki hutangnya. Setelah puas bertelagah, akhirnya Nina bersetuju menjual kamera dan iPadnya.

Bil yang tertunggak akan dikenakan bunga atau faedah sebanyak 2.95% hingga 4% sebulan. Bayangkan, wang simpanan di bank pun hanya berkembang sebanyak 3% setahun.  Faedah bil kad kredit pula boleh mencapai maksimum 48% setahun! Justeru hutang kad kredit perlu dibayar segera bagi mengelakkan faedahnya terus meningkat berkali-kali ganda. 

3) Berhenti guna kad kredit buat sementara.
Selagi hutang kad kredit belum selesai, Nina dilarang daripada menggunakan kad kredit.  Ada yang mencadangkan agar kad kredit Nina dipotong saja supaya kecenderungannya untuk menggunakan kad kredit dapat dikawal.

4) Buat jadual bayar hutang.
Katakan, Nina hanya mampu menjelaskan hutang sebanyak RM600 setiap bulan.  Teruskan membayar hutang secara tetap sebanyak RM600 sebulan, meski pun jumlah bayaran minimumnya nanti tidak sampai RM600.   

Dengan bonus tahunan sebanyak RM6,000 dan ansuran bulanan sebanyak RM600, Nina dijangka dapat membayar kesemua hutang kad kreditnya dalam tempoh dua tahun (diandaikan caj faedah kad kredit 4% sebulan).  Nina dapat melangsaikannya lebih awal jika bonus tahun berikutnya pun digunakan untuk membayar hutang.

5) Baki sifar.

Langkah seterusnya, jika Nina kembali menggunakan kad kredit, dia harus melangsaikan hutang setiap kali menerima bil kad kreditnya. Mengapa?  Hakikatnya, bil kad kredit adalah gambaran belanjawan kita pada setiap bulan. Maksudnya, setiap kali menggunakan kad kredit, pastikan yang kita mempunyai wang untuk membayar balik hutangnya.

Petang itu Nina melangkah pulang dengan perasaan lega.  Di tangannya, selembar kertas yang mengandungi langkah-langkah untuk membebaskan diri daripada hutang kad kredit, tergenggam erat.

Saya mengiringi Nina dengan sebaris harapan, semoga tiada ‘Nina-Nina’ lain yang datang ke pejabat kami dengan masalah yang sama. Cukuplah Nina yang satu ini menjadi pengajaran buat kita semua.
 
laporan asal:
Eka Agustina, QM Planner
 www.qmfinancial.com  


Sumber : Yahoo.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...