Penceroboh dibelasah sampai mati oleh Penduduk Semporna, Sabah!
ARAU
3 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terharu dengan
semangat dan keberanian sekumpulan penduduk kampung di Semporna, Sabah
yang sanggup 'menggadai nyawa' ketika menentang seorang penceroboh
bersenjata M16 di kawasan berkenaan malam tadi.
Menurut beliau,
tindakan luar biasa penduduk kampung tersebut disebabkan mereka tidak
rela kampung dan tanah air mereka diceroboh sehingga sanggup berbuat apa
sahaja. "Saya diberitahu,
sekumpulan penduduk kampung bertindak berani menyelamatkan orang kampung
yang dijadikan tebusan oleh penceroboh tanpa menghiraukan keselamatan
mereka.
"Sebagai penduduk dan rakyat negara ini, mereka sudah
tentu marah kepada kumpulan penceroboh kerana mahu menggugat keamanan,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
merasmikan Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh
Putra, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan sekumpulan
penduduk kampung menentang penceroboh bersenjata dipercayai terlibat
dalam serangan mengorbankan seorang pegawai dan empat anggota polis di
Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, malam tadi.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki bersenjatakan M16 mati dipercayai dibelasah penduduk kampung.
Sementara itu, menurut Najib, kerajaan sentiasa memastikan penyaluran
maklumat yang tepat mengenai pencerobohan bersenjata di Sabah khususnya
di Lahad Datu, Semporna dan Kunak.
"Kita (kerajaan) tidak
pernah menyorokkan maklumat, tetapi kita ambil sedikit masa untuk
mengumpul dan memastikannya tepat supaya rakyat mendapat gambaran lebih
tepat mengenai sebarang kejadian.
"Ini supaya kita tidak dituduh memberi maklumat semata-mata untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan
Tentera telah diminta memberikan kenyataan sekiranya terdapat sebarang
perkembangan mengenai kejadian tersebut.
No comments:
Post a Comment